Monday, 6 March 2017

Ulasan Kelas Blog

Teks : Irda Rina 
Foto : Carian Google



Alhamdulillah, nampaknya selesai tugasan-tugasan penting untuk memulakan blog. Sebenarnya, hasrat untuk menulis blog sudah lama terpendam sejak tahun 2009 lagi. Iaitu sejak saya merasakan ingin berkongsi satu persatu pengalaman menjaga anak yang sakit kanser Neuroblastoma pada ketika itu. Niat saya ingin menulis untuk menjadi panduan dan rujukan bagi orang lain, terutamanya yang diduga dengan ujian yang sama. 


Pada masa itu saya ada bina blog menggunakan wordpress. Tetapi kalau tak silap saya, sempat 2 atau 3 entri saja. Blog tu pun sudah tidak wujud rasanya. Sedangkan pada ketika itu (dan sehingga kini), masih ada rakan-rakan yang menantikan kisah-kisah pengalaman saya tersebut. 

Tahun berganti tahun, saya masih berhutang cerita lagi nampaknya. InshaaAllah, sampai masa nanti saya akan 'langsaikan' hutang tersebut sedikit demi sedikit melalui Catatan Pengalaman saya didalam blog ini. 


Saya juga pernah menghantar mesej kepada pengasas ABDR, Puan Masayu Ahmad untuk mendaftar kelas penulisan blog. Tetapi saya tidak meneruskan hajat saya kerana merasakan agak sibuk pada ketika itu. 

Sehinggalah pada bulan Januari lalu, Puan Arbee Ali mesej saya dan menjemput saya menyertai Kelas Asas Penulisan Blog ini. Pada masa itu memang saya sudah pasang niat untuk membuka blog baru setelah menjadi Perancang Harta Pusaka. Kerana hal ehwal harta pusaka ini kadangkala lebih sesuai diceritakan panjang lebar melalui blog berbanding di facebook. 



Dipendekkan cerita, Allah memudahkan rezeki saya untuk menjadi pelajar kelas tersebut bagi Februari 2017. Saya dibimbing oleh Puan Anys Idayu Zakaria. Membuat blog dengan berguru ni lebih teratur caranya daripada hentam buat sendiri. Puan Anys mengajar langkah demi langkah. Jika ada yang tak faham atau tak menjadi, kami bebas bertanya. Biarpun kadang-kadang saya rasa soalan saya tu terlampau 'basic' juga. Tapi demi menimba ilmu, biarkanlah. Malu bertanya, sesat pula jalannya nanti. 

Alhamdulillah, walaupun sekecil-kecil ilmu, ia tetap berguna untuk saya. Tetapi apa yang paling penting adalah inisiatif saya sendiri untuk konsisten menulis. Hmm..... kadang agak mencabar juga. Harap agar terus istiqamah demi berkongsi dengan pembaca. 


Mudah-mudahan blog ini bukan sekadar menjadi sumber maklumat atau bahan bacaan untuk pengujung. Tetapi diharapkan agar ia menjadi ladang pahala yang berterusan juga buat saya melalui segala perkongsian yang baik dari didalam blog ini.

Pelajar Februari 2017,
Irda Rina Kamarulbahrain

Tuesday, 28 February 2017

Pengalaman Pertama Edar Risalah (Flyers)

Risalah (flyers) saya

Terkenang pengalaman edar 'flyers' semasa di Karnival Geng Masjid Vaganza di Masjid Munawwarah, Seksyen 27 Shah Alam tempoh hari. Entah kenapa rasa seronok pula pengalaman sebegitu. Ianya merupakan pengalaman pertama saya mengedarkan risalah (flyers) sepanjang hidup saya.

Saya cuba tukar-tukar ayat ketika mengedarkan 'flyers' kepada pengunjung yang lalu lalang.

"Assalamualaikum Tuan, Tuan dah buat perancangan harta pusaka? Kalau ada masa, boleh duduk dulu untuk saya terangkan. Ataupun kalau ada apa2, tuan boleh hubungi saya ya".

"Assalamualaikum Cik Puan, saya dari Syarikat Amanah yang menawarkan khidmat perancangan harta pusaka, harta sepencarian, hibah... Kalau ada apa-apa boleh hubungi saya ya".

"Assalamualaikum Encik... khidmat perancangan harta pusaka, wasiat, harta sepencarian, hibah.... Kalau dah terdetik hati nak buat penulisan wasiat, boleh hubungi saya ya".

Kalau Cik Puan yang pakai handbag Chanel, saya akan tambah...... 

"Kalau ada hasrat nak wasiatkan handbag kepada sesiapa pun boleh....". 

Dan kemudian disambut dengan ketawa oleh Cik Puan-Cik Puan tersebut. Hehehe... Saya pun faham... Kalau boleh, takmau koleksi kesayangan tu dapat kat isteri baru kan... hihihi


Respon?

Ada yang bertanya kita semula untuk ingin tahu lebih lanjut, 
ada yang ceritakan pengalaman mereka pula, 
ada yang memberi jawapan dengan nada bergurau, 
ada yang berterima kasih, 
ada yang sedekahkan senyum, 
ada yang belum dengar apa kita sebut tetapi sudah menolak. Itu lumrah. Kalau dia tidak mahu ambil 'flyers' kita, jangan memaksa.


Kalau yang tengah duduk melepak, saya mulakan dengan berbasa basi dahulu... tanya dia tunggu siapa... sebut pasal anak kecilnya ke..

Sebenarnya, saya hendak melatih kemahiran komunikasi dan kemahiran saya berinteraksi dengan orang ramai. Saya tidak kira berapa kos yang saya telah habiskan untuk Karnival tersebut. Saya tidak kisah berapa hasil yang saya akan dapat. Yang pastinya... Itulah antara pengalaman dan latihan yang paling berharga.

Dan saya juga seronok dapat berbual dengan beberapa peniaga di karnival tersebut tentang perniagaan mereka. Belum dikira pengalaman setebal 'flyers' dan 'sales kit' yang saya baru 'laminate' rosak dek kerana hujan ribut pada petang Sabtu (Allahumma soyyiban naafi'aa). 

Menggigil kesejukan sebab jubah yang saya pakai pun basah. Syukurlah anak-anak tiada disana ketika itu. Dan Alhamdulillah lewat petang itu, rakan-rakan lain pula ambil alih tugas hingga ke malam.

Wednesday, 22 February 2017

Menjadi IEP Dengan Tawaran Diskaun 1 Mac 2017 ini

Teks & Foto : as-Salihin Trustee Berhad / Irda Rina


TAWARAN UNTUK MENJADI PERANCANG HARTA PUSAKA UNTUK UMAT ISLAM DI MALAYSIA


Assalamualaikum, 

Dimaklumkan as-Salihin Trustee Berhad akan mengadakan Taklimat Peluang Perniagaan (Grand Business Opportunity Program - Grand BOP) seperti berikut :

Tarikh : 1 Mac 2017
Hari : Rabu
Masa : 8.00 pm-11.00 pm
Tempat : Dewan Sri Kelana, TH Hotel, Kelana Jaya.

GRAND BOP jarang sekali diadakan dan diskaun terendah hanya ditawarkan ketika GRAND BOP!

Tawaran harga yuran istimewa akan diberikan kepada mereka yang hadir dan mendaftar semasa Grand BOP nanti.

1) Diskaun 20% bagi pembayaran penuh pada hari tersebut.

2) Diskaun 10% diberikan kepada peserta yg lain dengan deposit sekurang-kurangnya RM200.

Kelebihan memiliki lesen Perancang Harta Pusaka Islam (IEP) as-Salihin :

  • Potensi pasaran yang luas - dianggarkan 95% umat Islam masih belum berwasiat. 
  • Peluang pendapatan aktif dan pasif. 
  • Khidmat sokongan guaman dan latihan yang berterusan. 
  • Insentif pelancongan ke luar negara 
  • Lesen seumur hidup, tiada yuran tahunan
  • Pakej yuran termasuk wasiat untuk diri sendiri
  • Diskaun untuk wasiat pasangan

Sesuai untuk sesiapa saja yang berminat mendalami ilmu harta pusaka serta berkongsi ilmu dengan saudara seMuslim. 


Sesuai untuk Perunding Takaful, Perunding Hartanah dan Perunding Unit Amanah yang ingin meluaskan portfolio dan menambah cabang pendapatan.

SEDIKIT TENTANG aS-SALIHIN TRUSTEE BHD
Diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949, as-Salihin adalah sebuah Syarikat Amanah yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan umat Islam untuk memelihara, melindungi dan mengagihkan harta hasil titik peluh mereka untuk manfaat orang-orang tersayang apabila mereka meninggal dunia kelak melalui perancangan harta Pusaka Islam.

Whatsapp <GRAND BOP> dan hantar ke
017-3676177
Whatsapp <GRAND BOP> dan hantar ke
017-3676177
Whatsapp <GRAND BOP> dan hantar ke
017-3676177

Irda Rina Kamarulbahrain
Islamic Estate Planner
aS-Salihin Trustee Berhad
017-3676 177

Tuesday, 21 February 2017

Dilema Anak Perempuan

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian google


Minggu lepas saya menerima mesej dari 
dua client yang berbeza. Kedua-duanya perempuan. 

Kedua-duanya menghadapi masalah yang sama, iaitu
urusan pentadbiran pusaka Allahyarham ayah belum dapat 
diselesaikan kerana menemui jalan buntu. 


Buntu kerana IBU tidak mahu harta pusaka ditadbir urus. 
Buntu kerana IBU tidak sepakat bersama waris lain. 


Kenapa? 


Sebab ayahnya meninggalkan seorang isteri (ibu client) dan 
anak perempuan semuanya. 
Kerana tiada anak lelaki, maka mengikut hukum Faraid, ibu serta semua anak perempuannya perlu berkongsi tanah, berkongsi harta dengan adik beradik Allahyarham ayah. 

Itu yang buat ibu tidak mahu. 

IBU takut kalau-kalau terpaksa berpindah. 
IBU takut kalau-kalau rumah yang mereka duduki terpaksa dijual. 
IBU takut kalau-kalau ipar duainya mahukan hak ke atas rumah dan tanah yang diduduki. 

Dulu rumah dan tanah atas nama ayah saja. 
Sekarang perlu berkongsi ramai pula. Dan ibu tinggal di atas tanah yang bakal mempunyai pemilik yang ramai. Bukan saja dikalangan anak-anaknya, malah dengan ipar duainya. 

Bukanlah hendak kata ipar duai bakal membawa masalah.... tidak semestinya. Cuma hati ibu tadi rasa tidak seronok. Ibu tidak mahu berkongsi. Tapi... mahukah yang lain-lain melepaskan hak mereka dan beri kepada ibu sepenuhnya? 

Sukar kalau menemui jalan buntu begini. 
Hutang-hutang ayah, perlu diselesaikan segera. 
Tetapi semua wang tunai masih dalam bank, masih dalam akaun Tabung Haji. 

Harta pusaka belum ditadbir lagi. 
Nak nasihat lebih-lebih pun, ibu sendiri. 
Salah cakap, ibu boleh kecil hati. 

Terus berdoa agar dibukakan jalan
Mudah-mudahan dapat segera diselesaikan


Sunday, 19 February 2017

20 Implikasi Jika Mati Tanpa Berwasiat

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian Google

Sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia, semua hartanya akan dibekukan. Maka, apakah kesan-kesannya jika seseorang itu TIDAK meninggalkan wasiat semasa hidupnya?

Kesan terhadap diri sendiri setelah meninggal dunia :

1. Hutang dunia lambat atau tidak dilunaskan.

2. Badal haji lambat ditunaikan sekiranya waris tiada simpanan lain, tiada manfaat takaful dan menunggu harta pusaka si mati semata-mata. Jangan lupa akaun Tabung Haji si mati juga beku!

3. Hutang-hutang lain dengan Allah (zakat, fidyah, kafarah, nazar) tidak ditunaikan kerana mungkin waris tidak mengetahuinya dan akibatnya ia tidak dilangsaikan.

4. Amanah terhadap orang lain tidak ditunaikan atau lambat ditunaikan.

Hutang halang masuk syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga?

Kesan terhadap waris :

5. Pentadbiran harta pusaka boleh memakan masa bertahun-tahun kerana tiada wasi. Ini melambatkan proses pengagihan Faraid.

6. Lebih menyulitkan sekiranya dalam tempoh tersebut ada waris lain yang meninggal. Ini menjadikan kematian berlapis dan harta perlu dikongsi pula dengan waris-waris kepada waris yang meninggal tadi.

Banyak tanah tidak dapat dimanfaatkan

7. Boleh jadi kemungkinan waris termakan harta anak yatim secara sengaja ataupun tidak. Nauzubillahi min zalik, minta dijauhkan.

8. Boleh jadi menyusahkan dan membebankan balu, anak-anak dan waris-waris lain.

9. Rumah, tanah dan kereta tidak dapat dijual selagi pentadbiran dan pengagihan harta pusaka masih tertunggak.

10. Banyak nama dalam satu geran. Maka proses penjualan hartanah tersebut akan menjadi lebih susah kelak.

Banyak nama didalam geran.

11. Insurans / takaful kereta tidak dapat diperbaharui. Kalau dapat diperbaharui pun, jika tiba-tiba berlaku kemalangan, mangsa tidak boleh dapat pampasan insurans / takaful.

12. Setelah 7 tahun, wang dalam akaun simpanan akan pergi ke bahagian Wang Tidak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara kerana tidak aktif (tiada transaksi).

13. Pentadbiran harta pusaka akan jadi lebih lama lagi jika melibatkan tuntutan harta sepencarian pula.

14. Tiada harta diperolehi oleh bukan waris, walaupun si mati sangat sayangkannya.

15. Bagi jumlah nilaian keseluruhan harta yang melebihi RM2juta, waris perlu mencari 2 orang penjamin yang sama nilaiannya dengan harta. Mungkin waris dapat jumpa orang-orang yang mempunyai nilai harta yang sama, tetapi belum tentu orang-orang tersebut sudi menjadi penjamin.

16. Boleh timbul ketidakpuasan hati dan pertelingkahan antara waris, mengakibatkan perpecahan keluarga. Yang ini sudah banyak contoh berlaku disekeliling kita.



Kesan terhadap masyarakat Islam :

17. Lebih banyak tanah-tanah orang Islam tidak dapat diusahakan akibat pembekuan harta, seterusnya tidak dapat dimanfaatkan.

18. Umat Islam di Malaysia akan bertambah rugi kerana kekayaan yang tidak diagihkan. Setakat 2015, sudah lebih 66 billion harta Umat Islam tertunggak.

19. Zakat dari harta-harta tersebut tertunggak. Kalau banyak harta beku maka lagi banyak zakat tidak dirasai oleh golongan asnaf.

20. Boleh menyusahkan pemiutang-pemiutang yang menunggu pembayaran untuk dimanfaatkan.



Siapakah yang patut dipersalahkan jika semua ini berlaku? SI MATI yang tidak buat perancangan semasa hidupnya? Atau WARIS-WARIS yang tidak menyempurnakan urusan?


Perkara baik jangan ditangguh-tangguh...

Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam
017-3676 177

Pentingnya Meninggalkan Wasiat

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian Google


Kita semua akan dijemput ilahi. Paling tidak mesti ada sedikit harta yang kita tinggalkan. KWSP, akaun bank, akaun Tabung Haji, kereta kancil, motor kapcai, rumah pangsapuri. Ini semua dikira sebagai harta pusaka. Usah dikata tiada langsung. Itu belum kira hutang PTPTN belum habis dibayar. Jangan dilupa hutang haji juga, kalau belum sempat tunaikan pun dikira hutang juga. 

Melantik Wasi

Tujuan utama wasiat ialah untuk melantik Wasi (Executor) bagi menguruskan harta pusaka. Wasi hanya boleh dilantik ketika si pemilik harta masih hidup sahaja. Setelah meninggal, sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Waris-waris lah yang perlu berbincang sesama mereka dan memutuskan siapakah yang berkelayakan dan berkemampuan dilantik sebagai Pentadbir (Administrator). Orang yang sempat menulis wasiat yang lengkap sahaja ada Wasi seperti yang dirinya lantik didalam wasiatnya. 



Proses pengurusan harta pusaka juga tidak sama diantara si mati yang berwasiat dan si mati yang meninggal tanpa berwasiat.  



Cuba fikirkan, setelah kita sudah tiada nanti :
  • Adakah kita pasti waris-waris kita semuanya sudah melebihi umur 18 tahun?
  • Jikalau ditakdirkan umur kita panjang dan waris-waris kita sudah melebihi umur 18 tahun ketika itu pun, adakah kita pasti bahawa waris-waris kita masih sihat dan masih bertenaga lagi waktu itu?
  • Adakah kita pasti waris-waris kita ada banyak masa, rajin ambil cuti selalu untuk ulang alik pejabat tanah, bank-bank & Mahkamah Syariah? Bukan semua bank itu sama prosedurnya. Ada yang bertegas mahukan tandatangan dari semua waris, ada yang tidak. Kalau waris semuanya tinggal berdekatan mungkin kurang masalah. Tetapi jika waris semuanya tinggal berjauhan, kemudian selalu sibuk, selalu bekerja di luar kawasan, ianya pasti melecehkan.
  • Adakah kita jamin yang waris-waris kita nanti tidak akan ada yang bergaduh mahukan harta masing-masing atau berkira hendak keluarkan wang untuk uruskan hal pusaka ini?

Oleh itu, jikalau si mati sempat berwasiat :

  • WASI lah yang akan menguruskan pentadbiran harta pusaka si mati kelak. 
  • WASI yang akan mendapatkan Surat Probet dari Mahkamah tinggi. 
  • WASI yang akan ke bank-bank untuk tutup akaun dan perolehi wang dari akaun tersebut dengan mengemukakan Surat Probet yang Mahkamah Tinggi keluarkan.
  • WASI yang akan uruskan pembayaran hutang si mati termasuklah Badal Haji, hutang fidyah, hutang zakat, hutang kafarah dan nazar. 
  • WASI yang akan mengagihkan harta mengikut seperti mana yang diwasiatkan oleh pewasiat semasa hidupnya, dengan bertunjangkan hukum faraid.
  • WASI yang akan membahagikan harta pusaka (rumah, kereta, wang dalam akaun simpanan) seperti mana yang dinyatakan didalam wasiat, deklarasi harta sepencarian dan deklarasi hibah. 

Membahagikan harta pusaka itu termasuklah proses-proses yang berikut : 

  • Pergi ke Pejabat Tanah untuk tukar nama kat Geran Tanah, 
  • Pergi ke JPJ untuk tukar hakmilik kereta,
  • Bahagikan wang simpanan si mati dari akaun bank terus kepada waris-waris, atau mengikut tatacara seperti mana yang diarahkan didalam wasiat.

Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Tidak baik bagi seorang muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya." 


-Riwayat Ibnu Umar, Sahih Muslim No.3074-

Melantik Penjaga Harta Kanak-Kanak

Tahukah anda bahawa ibu bukanlah Penjaga Harta yang mutlak kepada anak-anak yang berumur bawah 18 tahun setelah kematian bapa? 

Mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984, apabila seorang bapa meninggal dunia dalam keadaan mempunyai anak yang berumur bawah 18 tahun, harta pusaka bagi anak-anak tersebut perlu diserahkan kepada bapa si mati (iaitu bapa mertua kepada isteri si mati). Bagaimana jika bapa mertua tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anak si mati? Bagaimana jika bapa mertua terlupa? Belum tentu si isteri berani atau tidak segan silu meminta dari bapa mertuanya, bukan?.

Atau sekiranya si mati sudah tidak mempunyai bapa (atau bapanya kurang berupaya dari segi akal dan kemampuan), harta pusaka untuk anak-anaknya yang bawah umur akan pergi ke Amanah Raya. Oleh itu isteri perlu berulang-alik ke Amanah Raya bagi menuntut wang perbelanjaan bagi anak-anak bawah umur yang si mati tinggalkan. 

Bagi kes suami isteri yang telah bercerai pula, sekiranya isteri meninggal dunia dalam keadaan mempunyai anak-anak bawah umur, harta pusaka isteri untuk anak-anak tersebut akan diserahkan kepada bekas suaminya (bapa kepada anak-anak tersebut). 

Seksyen 88 Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984

Sekiranya membuat penulisan wasiat dengan as-Salihin Trustee Berhad, seorang bapa atau bekas isteri boleh menamakan sesiapa saja individu dikalangan yang dipercayainya bagi menjadi Penjaga Harta anak-anaknya. as-Salihin membenarkan untuk menamakan sehingga empat (4) orang individu mengikut keutamaan. Sekiranya kesemua individu tersebut tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya, maka as-Salihin akan bertindak sebagai Penjaga Harta Ganti. Caj amanah (mengikut Akta Syarikat Amanah 1949) dikenakan sekiranya as-Salihin bertindak sebagai Penjaga Harta dan ianya masih antara yang terendah di pasaran. 

Melancarkan Pentadbiran Harta Pusaka


Selain dari melantik wasi, tujuan utama penulisan wasiat ialah untuk memudahkan dan melancarkan pentadbiran harta pusaka. Kita mahukan segala urusan menjadi mudah dan lancar ini bukanlah untuk kesenangan waris-waris memperolehi harta kita semata-mata. Tetapi yang paling penting ialah untuk DIRI KITA SENDIRI di alam barzakh sana terutamanya.


Fikirkan hutang-hutang kita. Hutang bank, hutang PTPTN, hutang haji, hutang ASB. Selagi hutang kita belum diselesaikan, selagi itu kita pun tidak selesai "di sana". 

Kalau bab harta pula, kasihanlah pada waris-waris. Apatah lagi jika kita meninggalkan waris yang bawah umur, atau isteri, atau ibu bapa yang tidak bekerja, anak kelainan upaya, anak perempuan sahaja dan sebagainya. Maut bukannya boleh dijangka datang bila.


Datang semasa anak-anak kita sudah membesar dan berjaya kah? Datang semasa anak isteri kita masih bergantung harap dengan kita kah? Kita dijemput ilahi bersama-sama dengan pasangan kita kah? Maka apakah persediaan kita didalam menguruskan risiko sebegini?



Proses pentadbiran harta pusaka untuk orang yang berwasiat dan tidak berwasiat adalah BERBEZA, tidak sama. Gambar dibawah ini, memaparkan perbezaan diantara proses pentadbiran harta pusaka si mati yang TIDAK MEMBUAT PENULISAN WASIAT semasa hidupnya, dan proses pentadbiran harta pusaka si mati dengan adanya penulisan WASIAT oleh si mati semasa hidupnya.

Tanpa wasiat, prosesnya boleh memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ada yang lima tahun, sepuluh tahun, ada yang berbelas berpuluh tahun pun masih belum selesai lagi. 


Tidak mengira sama ada banyak atau sedikit, harta pusaka mesti ditadbir sebelum ia dapat diagihkan kepada waris faraid. Tanpa pentadbiran harta pusaka, pengagihan faraid tidak dapat dilaksanakan. 

Dengan adanya wasiat, setelah berlaku kematian, Wasi (yang telah dilantik oleh pewasiat semasa hidup), boleh menguruskan pentadbiran harta pusaka dengan menggunakan surat wasiat yang ada. Tidak kira berapa nilaian harta, prosesnya terus melalui Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Surat Geran Probet (Grant of Probate Letter). InshaaAllah, prosedur dan prosesnya menjadi lebih mudah dan singkat. 

Dengan WASIAT : 
Wasi (Executor) memperolehi Surat Geran Probet (Grant of Probate Letter) bagi memudahkan pengagihan harta pusaka.

Tanpa WASIAT :
Pentadbir (Administrator) perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) dari pejabat-pejabat tertentu mengikut nilai & jenis harta.

Mengharmonikan Faraid

Tujuan penulisan wasiat yang seterusnya ialah untuk melancarkan dan mengharmonikan pembahagian Faraid melalui :

1. Pembahagian mengikut hasrat pewasiat


Setiap individu berkuasa ke atas hartanya sendiri semasa hidupnya. Semasa hidup, seseorang itu boleh membuat perancangan & keputusan untuk berikan rumah A pada siapa, tanah B pada siapa, kereta pada siapa, akaun simpanan ingin dibahagi macam mana, dan termasuklah menyampaikan arahan-arahan tertentu, sekiranya ada. 



Pewasiat boleh membahagikan hartanya didalam wasiat mengikut hasratnya sendiri, walaupun melebihi bahagian seperti yang dinyatakan didalam hukum Faraid. Walau bagaimanapun setelah meninggal, Syarikat Amanah akan mendapatkan persetujuan waris yang lain terlebih dahulu, bagi bahagian yang lebih itu. 



Sekiranya ada waris Faraid yang tidak bersetuju, bahagian Faraid untuk waris tersebut akan diberikan, tetapi wasiat TIDAK TERBATAL. Ini untuk memastikan pembahagian adalah sah disisi syarak dan mengikut hukum yang Allah tetapkan. Menurut pengalaman as-Salihin Trustee Bhd setakat ini, terdapat lebih kurang 85% kes dimana waris Faraid bersetuju dengan pembahagian harta mengikut hasrat pewasiat. 

2. Pengecualian Harta Tertentu dari Harta Pusaka

Lima perkara dibawah ini diasingkan / dikecualikan dari harta pusaka : 
  1. Hutang
  2. Wasiat kepada bukan waris (tidak lebih 1/3 daripada jumlah nilai harta pusaka)
  3. Harta Sepencarian yang telah dideklarasikan semasa hidup, atau tuntutan Harta Sepencarian setelah kematian suami. 
  4. Amanah Harta
  5. Hibah
Hanya harta pusaka sahaja akan dibahagi mengikut hasrat pewasiat dan tertakluk kepada hukum Faraid. Melalui HASRAT dan PENGECUALIAN ini, mudah-mudahan ia dapat mengelakkan atau mengurangkan pertelingkahan dikalangan waris-waris yang berhak, seterusnya kearah mengharmonikan Faraid itu sendiri. 

Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam

017-367 6177



Wednesday, 15 February 2017

Apa Itu Perancangan Harta Pusaka?

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian Google

Apakah yang dimaksudkan dengan 'Perancangan Harta Pusaka'


Perancangan membawa maksud merencanakan, merangka atau menentukan sesuatu tindakan yang bakal dilaksanakan, bagi menghadapi perkara-perkara atau sebarang kemungkinan yang akan datang. 

Manakala harta pusaka pula dalam bahasa yang mudahnya membawa maksud sebarang harta ataupun hak yang ditinggalkan oleh seseorang setelah kematiannya. Ianya merangkumi harta alih dan harta tak alih. 

Contoh harta alih : Wang simpanan, caruman KWSP, unit amanah, deposit tetap, saham syarikat, kereta dan seumpamanya.

Contoh harta tak alih : Tanah, rumah, kedai dan seumpamanya. 



Mengapa perancangan harta pusaka itu penting? 
Dan mengapakah ianya penting untuk orang Islam? 
Bukankah sudah ada hukum faraid didalam Al-Quran?


Ramai orang Islam menyangka hartanya akan diagih secara terus kepada ahli waris mengikut Faraid. Tetapi malangnya, itu TIDAK BENAR! 

Hukum faraid tidak boleh 'berjalan' dengan sendirinya. Maksudnya, bukanlah sebaik sahaja si mati meninggal, waris akan terus mendapat harta si mati.... TIDAK, ia tidak berlaku begitu. Ia perlu ditadbir dan diuruskan sebelum ia boleh diagihkan. 


Begitu juga, ramai orang Islam menyangkakan mereka tidak perlu merancang harta pusaka kerana sudah ada hukum Faraid. Sedangkan, masih ramai yang belum tahu bahawa waris-waris mereka terpaksa melalui kepayahan terhadap proses pentadbiran sebelum harta boleh diagihkan mengikut faraid. Tanpa perancangan yang betul, proses pentadbiran akan mengambil masa yang terlalu lama sehingga memakan masa bertahun-tahun.


50 tahun baru selesai kes tuntutan tanah pusaka

Namun begitu, perancangan harta pusaka ini bukanlah untuk memudahkan waris-waris sahaja. Paling penting, ia bertujuan untuk menyelamatkan si mati sendiri di akhirat kelak terutamanya jika si mati meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang. 

Hutang mesti dilangsaikan segera. Ini termasuklah hutang dunia seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, pinjaman pelajaran, hutang dengan kawan-kawan, hutang perniagaan dan juga hutang akhirat seperti zakat, haji, fidyah, kafarah dan nazar. 

Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda,


"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" 

-Hadis Riwayat Muslim, 6/38-

Didalam satu hadis sahih lain yang diriiwayatkan oleh Ibnu Majah pula, Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam tidak mahu solatkan jenazah yang masih berhutang sehingga sahabat Nabi yang bernama Abu Qatadah menjamin hutang tersebut. 

Selain dari isu hutang, harta si mati juga perlu dipindahkan segera kerana ia sudah menjadi hak waris-warisnya. 


Mengapakah hal ini menjadi begitu penting dan kritikal?


Kerana kelewatan boleh menyebabkan zakat terhadap harta pusaka tersebut tertangguh. Bukan itu sahaja, dikhuatiri jika ada pihak yang termakan harta tersebut secara batil. Apatah lagi jika ada bahagian untuk anak-anak yatim dalam harta tersebut. Inilah yang paling mesti dielakkan.

"Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya."

-Surah Al-Isra', Ayat 34-

Impaknya menjadi lebih besar lagi sekiranya berlaku pula kematian berlapis, iaitu kematian waris asal kepada harta pusaka si mati yang belum sempat dibahagikan. Kemudian waris asal itu pula meninggalkan waris-waris lain yang ramai dibawahnya. Maka lagi panjang dan lagi lama lah proses pentadbiran jawabnya. 


Statistik tahun 2015 sudah mencecah RM66 billion


Memandangkan permasalahan sebegini, sudah menjadi kepentingan untuk mencari solusi yang terbaik agar implikasi-implikasi diatas dapat dielakkan. Buatlah perancangan harta sekarang, semasa masih hidup. 

Memanglah kalau boleh, kita rasa tidak mahu atau tidak seronok jika fikir pasal kematian. Tetapi mati itu pasti. Tiada siapa boleh nafikannya. Kita tidak akan dapat mengelak dari kematian. Malah, tiada sesiapa di dunia ini boleh beri jaminan yang kita tidak akan meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Dan tiada sesiapa di dunia ini boleh beri jaminan yang kita tidak akan meninggal dunia dalam keadaan masih sihat walafiat. 

Oleh itu, buatlah persediaan. 
Bekalan untuk ke sana nanti. 
Juga perancangan terhadap apa yang bakal kita tinggalkan.


Bertindaklah demi......

  • Keselamatan dan ketenangan diri sendiri di akhirat kelak.
  • Kemudahan waris-waris yang bakal ditinggalkan.
  • Mengharmonikan faraid.


Perbezaan diantara pembahagian harta tanpa perancangan harta pusaka dengan pembahagian sekiranya ada perancangan harta pusaka


Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam
017-3676 177