Sunday 19 February 2017

Pentingnya Meninggalkan Wasiat

Teks : Irda Rina
Foto : Irda Rina / Carian Google


Kita semua akan dijemput ilahi. Paling tidak mesti ada sedikit harta yang kita tinggalkan. KWSP, akaun bank, akaun Tabung Haji, kereta kancil, motor kapcai, rumah pangsapuri. Ini semua dikira sebagai harta pusaka. Usah dikata tiada langsung. Itu belum kira hutang PTPTN belum habis dibayar. Jangan dilupa hutang haji juga, kalau belum sempat tunaikan pun dikira hutang juga. 

Melantik Wasi

Tujuan utama wasiat ialah untuk melantik Wasi (Executor) bagi menguruskan harta pusaka. Wasi hanya boleh dilantik ketika si pemilik harta masih hidup sahaja. Setelah meninggal, sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Waris-waris lah yang perlu berbincang sesama mereka dan memutuskan siapakah yang berkelayakan dan berkemampuan dilantik sebagai Pentadbir (Administrator). Orang yang sempat menulis wasiat yang lengkap sahaja ada Wasi seperti yang dirinya lantik didalam wasiatnya. 



Proses pengurusan harta pusaka juga tidak sama diantara si mati yang berwasiat dan si mati yang meninggal tanpa berwasiat.  



Cuba fikirkan, setelah kita sudah tiada nanti :
  • Adakah kita pasti waris-waris kita semuanya sudah melebihi umur 18 tahun?
  • Jikalau ditakdirkan umur kita panjang dan waris-waris kita sudah melebihi umur 18 tahun ketika itu pun, adakah kita pasti bahawa waris-waris kita masih sihat dan masih bertenaga lagi waktu itu?
  • Adakah kita pasti waris-waris kita ada banyak masa, rajin ambil cuti selalu untuk ulang alik pejabat tanah, bank-bank & Mahkamah Syariah? Bukan semua bank itu sama prosedurnya. Ada yang bertegas mahukan tandatangan dari semua waris, ada yang tidak. Kalau waris semuanya tinggal berdekatan mungkin kurang masalah. Tetapi jika waris semuanya tinggal berjauhan, kemudian selalu sibuk, selalu bekerja di luar kawasan, ianya pasti melecehkan.
  • Adakah kita jamin yang waris-waris kita nanti tidak akan ada yang bergaduh mahukan harta masing-masing atau berkira hendak keluarkan wang untuk uruskan hal pusaka ini?

Oleh itu, jikalau si mati sempat berwasiat :

  • WASI lah yang akan menguruskan pentadbiran harta pusaka si mati kelak. 
  • WASI yang akan mendapatkan Surat Probet dari Mahkamah tinggi. 
  • WASI yang akan ke bank-bank untuk tutup akaun dan perolehi wang dari akaun tersebut dengan mengemukakan Surat Probet yang Mahkamah Tinggi keluarkan.
  • WASI yang akan uruskan pembayaran hutang si mati termasuklah Badal Haji, hutang fidyah, hutang zakat, hutang kafarah dan nazar. 
  • WASI yang akan mengagihkan harta mengikut seperti mana yang diwasiatkan oleh pewasiat semasa hidupnya, dengan bertunjangkan hukum faraid.
  • WASI yang akan membahagikan harta pusaka (rumah, kereta, wang dalam akaun simpanan) seperti mana yang dinyatakan didalam wasiat, deklarasi harta sepencarian dan deklarasi hibah. 

Membahagikan harta pusaka itu termasuklah proses-proses yang berikut : 

  • Pergi ke Pejabat Tanah untuk tukar nama kat Geran Tanah, 
  • Pergi ke JPJ untuk tukar hakmilik kereta,
  • Bahagikan wang simpanan si mati dari akaun bank terus kepada waris-waris, atau mengikut tatacara seperti mana yang diarahkan didalam wasiat.

Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Tidak baik bagi seorang muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya." 


-Riwayat Ibnu Umar, Sahih Muslim No.3074-

Melantik Penjaga Harta Kanak-Kanak

Tahukah anda bahawa ibu bukanlah Penjaga Harta yang mutlak kepada anak-anak yang berumur bawah 18 tahun setelah kematian bapa? 

Mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984, apabila seorang bapa meninggal dunia dalam keadaan mempunyai anak yang berumur bawah 18 tahun, harta pusaka bagi anak-anak tersebut perlu diserahkan kepada bapa si mati (iaitu bapa mertua kepada isteri si mati). Bagaimana jika bapa mertua tinggal berjauhan dengan isteri dan anak-anak si mati? Bagaimana jika bapa mertua terlupa? Belum tentu si isteri berani atau tidak segan silu meminta dari bapa mertuanya, bukan?.

Atau sekiranya si mati sudah tidak mempunyai bapa (atau bapanya kurang berupaya dari segi akal dan kemampuan), harta pusaka untuk anak-anaknya yang bawah umur akan pergi ke Amanah Raya. Oleh itu isteri perlu berulang-alik ke Amanah Raya bagi menuntut wang perbelanjaan bagi anak-anak bawah umur yang si mati tinggalkan. 

Bagi kes suami isteri yang telah bercerai pula, sekiranya isteri meninggal dunia dalam keadaan mempunyai anak-anak bawah umur, harta pusaka isteri untuk anak-anak tersebut akan diserahkan kepada bekas suaminya (bapa kepada anak-anak tersebut). 

Seksyen 88 Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984

Sekiranya membuat penulisan wasiat dengan as-Salihin Trustee Berhad, seorang bapa atau bekas isteri boleh menamakan sesiapa saja individu dikalangan yang dipercayainya bagi menjadi Penjaga Harta anak-anaknya. as-Salihin membenarkan untuk menamakan sehingga empat (4) orang individu mengikut keutamaan. Sekiranya kesemua individu tersebut tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya, maka as-Salihin akan bertindak sebagai Penjaga Harta Ganti. Caj amanah (mengikut Akta Syarikat Amanah 1949) dikenakan sekiranya as-Salihin bertindak sebagai Penjaga Harta dan ianya masih antara yang terendah di pasaran. 

Melancarkan Pentadbiran Harta Pusaka


Selain dari melantik wasi, tujuan utama penulisan wasiat ialah untuk memudahkan dan melancarkan pentadbiran harta pusaka. Kita mahukan segala urusan menjadi mudah dan lancar ini bukanlah untuk kesenangan waris-waris memperolehi harta kita semata-mata. Tetapi yang paling penting ialah untuk DIRI KITA SENDIRI di alam barzakh sana terutamanya.


Fikirkan hutang-hutang kita. Hutang bank, hutang PTPTN, hutang haji, hutang ASB. Selagi hutang kita belum diselesaikan, selagi itu kita pun tidak selesai "di sana". 

Kalau bab harta pula, kasihanlah pada waris-waris. Apatah lagi jika kita meninggalkan waris yang bawah umur, atau isteri, atau ibu bapa yang tidak bekerja, anak kelainan upaya, anak perempuan sahaja dan sebagainya. Maut bukannya boleh dijangka datang bila.


Datang semasa anak-anak kita sudah membesar dan berjaya kah? Datang semasa anak isteri kita masih bergantung harap dengan kita kah? Kita dijemput ilahi bersama-sama dengan pasangan kita kah? Maka apakah persediaan kita didalam menguruskan risiko sebegini?



Proses pentadbiran harta pusaka untuk orang yang berwasiat dan tidak berwasiat adalah BERBEZA, tidak sama. Gambar dibawah ini, memaparkan perbezaan diantara proses pentadbiran harta pusaka si mati yang TIDAK MEMBUAT PENULISAN WASIAT semasa hidupnya, dan proses pentadbiran harta pusaka si mati dengan adanya penulisan WASIAT oleh si mati semasa hidupnya.

Tanpa wasiat, prosesnya boleh memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ada yang lima tahun, sepuluh tahun, ada yang berbelas berpuluh tahun pun masih belum selesai lagi. 


Tidak mengira sama ada banyak atau sedikit, harta pusaka mesti ditadbir sebelum ia dapat diagihkan kepada waris faraid. Tanpa pentadbiran harta pusaka, pengagihan faraid tidak dapat dilaksanakan. 

Dengan adanya wasiat, setelah berlaku kematian, Wasi (yang telah dilantik oleh pewasiat semasa hidup), boleh menguruskan pentadbiran harta pusaka dengan menggunakan surat wasiat yang ada. Tidak kira berapa nilaian harta, prosesnya terus melalui Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan Surat Geran Probet (Grant of Probate Letter). InshaaAllah, prosedur dan prosesnya menjadi lebih mudah dan singkat. 

Dengan WASIAT : 
Wasi (Executor) memperolehi Surat Geran Probet (Grant of Probate Letter) bagi memudahkan pengagihan harta pusaka.

Tanpa WASIAT :
Pentadbir (Administrator) perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) dari pejabat-pejabat tertentu mengikut nilai & jenis harta.

Mengharmonikan Faraid

Tujuan penulisan wasiat yang seterusnya ialah untuk melancarkan dan mengharmonikan pembahagian Faraid melalui :

1. Pembahagian mengikut hasrat pewasiat


Setiap individu berkuasa ke atas hartanya sendiri semasa hidupnya. Semasa hidup, seseorang itu boleh membuat perancangan & keputusan untuk berikan rumah A pada siapa, tanah B pada siapa, kereta pada siapa, akaun simpanan ingin dibahagi macam mana, dan termasuklah menyampaikan arahan-arahan tertentu, sekiranya ada. 



Pewasiat boleh membahagikan hartanya didalam wasiat mengikut hasratnya sendiri, walaupun melebihi bahagian seperti yang dinyatakan didalam hukum Faraid. Walau bagaimanapun setelah meninggal, Syarikat Amanah akan mendapatkan persetujuan waris yang lain terlebih dahulu, bagi bahagian yang lebih itu. 



Sekiranya ada waris Faraid yang tidak bersetuju, bahagian Faraid untuk waris tersebut akan diberikan, tetapi wasiat TIDAK TERBATAL. Ini untuk memastikan pembahagian adalah sah disisi syarak dan mengikut hukum yang Allah tetapkan. Menurut pengalaman as-Salihin Trustee Bhd setakat ini, terdapat lebih kurang 85% kes dimana waris Faraid bersetuju dengan pembahagian harta mengikut hasrat pewasiat. 

2. Pengecualian Harta Tertentu dari Harta Pusaka

Lima perkara dibawah ini diasingkan / dikecualikan dari harta pusaka : 
  1. Hutang
  2. Wasiat kepada bukan waris (tidak lebih 1/3 daripada jumlah nilai harta pusaka)
  3. Harta Sepencarian yang telah dideklarasikan semasa hidup, atau tuntutan Harta Sepencarian setelah kematian suami. 
  4. Amanah Harta
  5. Hibah
Hanya harta pusaka sahaja akan dibahagi mengikut hasrat pewasiat dan tertakluk kepada hukum Faraid. Melalui HASRAT dan PENGECUALIAN ini, mudah-mudahan ia dapat mengelakkan atau mengurangkan pertelingkahan dikalangan waris-waris yang berhak, seterusnya kearah mengharmonikan Faraid itu sendiri. 

Irda Rina Kamarulbahrain
Perancang Harta Pusaka Islam

017-367 6177



No comments:

Post a Comment